Thursday, May 26, 2011

Kenapa Malaysia Memerlukan Kilang Memproses Nadir Bumi Lynas @NajibRazak ?

Setelah sekian lama tidak bersiaran, meh baca kita baca artikel yg di kopipes dari SINI ni ek. Jangan sekadar baca untuk suka-suka je, tapi buatlah kajian lanjut (ye lah, kita takleh percaya bulat-bulat kan, kena la rajin google merata-rata kan...) & buat pilihan yang tepat (untuk penduduk Kuantan & Kemaman khususnya, dan rakyat Malaysia umumnya). Ingat! bala Allah tak mengenal iman, jantina atau parti politik!


Kenapa Malaysia Memerlukan Kilang Memproses Nadir Bumi Lynas @NajibRazak ?

Kecoh tentang pembukaan kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Pahang oleh syarikat Lynas Malaysia Sdn. Bhd. Aku tergerak untuk membuat sedikit kajian tentang isu ini selepas menonton video yang dirakam dalam bahasa Malaysia oleh seorang warganegara Australia sendiri berkaitan isu ini. Kalau dah sampai macam tu, nampak sangat perkara ini bukanlah perkara yang remeh.

Setelah membaca artikel berkaitan Rare Earth Elements di laman National Geographic, aku berpendapat Malaysia memerlukan kilang memproses nadir bumi ini. Kita kena ingat, ekonomi kita sangatlah bergantung kepada pengeluaran petroleum. Bila sampai masanya, pengeluaran produk hasil daripada petroleum akan berkurangan sekali gus mengurangkan pendapatan negara. Walaupun ada industri lain seperti minyak sawit, industri seperti ini tidaklah memberi impak yang besar pada ekonomi kerana permintaan dunia tidaklah tinggi.

Nadir bumi ini diperlukan untuk menghasilkan komponen peralatan elektronik. Hasil daripada penggunaan nadir bumi inilah kita dapat menikmati peralatan elektronik yang nipis, kecil dan ringan seperti iPad 2 kerana komponen yang terhasil daripada penggunaan nadir bumi ini adalah lebih baik dan efisyen berbanding komponen yang dihasilkan menggunakan bahan tiruan.

Sekarang ini, negara China membekalkan sehingga 97% permintaan dunia untuk nadir bumi yang diproses untuk kegunaan industri. Dengan kuasa yang besar seperti itu, mereka boleh mengehadkan pembekalan sekali gus menyebabkan kenaikan harga barangan elektronik seluruh dunia. China merancang untuk mengurangkan eksport nadir bumi yang telah diproses dengan alasan untuk kegunaan dalam negara mereka walaupun kita semua tahu bahawa mereka sengaja mengekspoitasi monopoli mereka dalam pasaran dunia supaya harga bahan ini meningkat.

Permintaan untuk bahan ini tak akan berkurangan kerana industri pembuatan elektronik memerlukan bahan ini. Oleh itu, pembukaan kilang pemprosesan nadir bumi di Malaysia, merupakan satu langkah yang baik untuk menambahkan pendapatan negara. Kilang yang dibuka di Gebeng, Pahang itu akan berupaya menghasilkan nilai eksport sebanyak RM8 billion setahun dan dijangkakan meningkat dari tahun ke tahun. Ini dapat memberikan pendapatan tetap yang lumayan kepada negara kita kerana kilang tak banyak negara mempunyai kilang pemprosesan nadir bumi ini.

TETAPI

Apa yang bodoh aku lihat dalam projek ini ialah:
  • Keputusan yang dibuat oleh individu untuk mengeluarkan lesen pembinaan kilang tersebut pada tahun 2008 dibuat tanpa pengetahuan orang awam, termasuklah rakyat Pahang itu sendiri. Apabila negara mula melibatkan diri dalam pemprosesan bahan radioaktif, kajian menyeluruh perlu dijalankan sebelum apa-apa lesen atau arahan dikeluarkan untuk memulakan pembinaan.
  • Apabila negara memberikan lesen kepada syarikat luar untuk membuka kilang pemprosesan mereka, harapan kita adalah supaya dapat membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat negara ini. Namun dalam hal kilang pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, peluang pekerjaan yang dibukan adalah sebanyak 350 sahaja. Langsung tak berbaloi dan tidak akan memberikan impak ekonomi yang diharapkan.
  • Pengecualian cukai selama 12 tahun. Ini adalah yang paling bodoh. Kita terlalu baik sampaikan industri yang menghasilkan sisa buangan radioaktif diberikan pengecualian cukai walaupun industri tersebut dianggarkan akan membuat untung berbillion ringgit pada tahun pertama pembukaannya. Bila negara tak dapat satu sen pun daripada industri yang sememangnya membahayakan rakyat ini, apa gunanya kita berikan mereka lesen untuk beroperasi di negara kita?
  • Menteri Western Australia, Hon Norman Moore memaklumkan sisa buangan radioaktif itu adalah milik Malaysia dan tidak akan diterima balik oleh Australia.
  • Lokasi yang terlalu dekat dengan kawasan kediaman. Jarak 2 km dari Balok dengan kepadatan penduduk seramai 16700 orang. Jika diambil kira keluasan evakuasi di Fukushima dengan jarak 40km dari Gebeng Kuantan, kebocoran sisa radioaktif akan melibatkan keseluruhan penduduk di Kuantan, Gambang, Cherating malah Kemaman di Terengganu sekalipun. Jumlah penduduk yang mungkin terlibat boleh mencecah hampir 800 hingga 900 ribu secara keseluruhannya dengan Kuantan sahaja di sekitar 600 hingga 650 ribu orang. Syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Australia adalah minima 35 km dari kawasan penempatan penduduk.
  • Denda RM50 juta seperti yang termaktub di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom Perenggan 59 (1) untuk setiap bencana kepada Lynas dilihat cukup ringan berbanding hasil RM8 Billion setahun. Hanya satu bencana yang melibatkan sisa radioaktif memadai untuk menjadi ancaman yang serius dan kekal lama kepada semua.

Kesan terhadap penduduk di kawasan sekitar kilang tersebut (Kuantan & Kemaman khususnya):
  • Nilai hartanah akan merudum kerana tiada siapa yang mahu membeli tanah atau kediaman di sekitar Kuantan dan di Kemaman.
  • Ancaman kepada syarikat berdekatan khususnya Petro-Kimia seperti Kaneka, MTBE, Petronas BASF dan BP Chemicals. Kerugian yang besar jika operasi mereka terganggu dengan insiden kebocoran sisa radioaktif yang boleh menjejaskan kesihatan pekerja mereka.
  • Pelabur baru dari luar negeri dan dari luar negara tidak akan berminat untuk melabur kerana ancaman sisa radioaktif daripada Lynas. Risiko terlalu tinggi.
  • Sektor pelancongan (Cherating) & perikanan (Kuantan) kemungkinan besar akan terjejas.

Nadir bumi yang dilombong di Mount Weld mengandungi beberapa mineral utama dan diantaranya ialah monazite. Monazite adalah bahan radioaktif. Di dalam bahan mineral monazite ini terdapat thorium, cerium dan lanthanum. Monazite kaya dengan thorium dan thorium ini juga adalah bahan radioaktif yang tinggi dan boleh digunakan untuk menggantikan uranium dalam menghasilkan tenaga nuklear. Berikut adalah kes-kes yang berkait rapat dengan thorium:
  1. Syarikat Mitsubishi Chemical yang terlibat dalam industri pemprosesan nadir bumi di Bukit Merah dikaitkan dengan 8 kes leukimia dan 7 kes kematian. Telah ditutup pada tahun 1992 dan kerja-kerja pembersihan sisa masih berjalan sehingga ke hari ini (hampir 20 tahun) dan telah menelan belanja lebih RM300 juta.
  2. Kesan toksik dan radioaktif dari industri ‘rare-earth’ di Baotou Mongolia. Setiap langkah pemprosesan nadir bumi yang bermula dari perlombongan bijih ke ‘rare earth oxide’ atau ‘rare-earth metals’ banyak menggunakan bahan asid dan kimia. Malah ketika perlombongan bijih, bahan asid akan dimasukkan ke lubang yang digali. Sisa buangan radioaktif khususnya Thorium juga dihasilkan ketika melalui semua proses itu. Kebocoran bahan asid, kimia dan sisa radioaktif ini yang banyak berlaku di Baotou terbukti telah menyebabkan kemusnahan kepada hasil pertanian dan kesihatan seperti kerosakan hasil tanaman, gigi tercabut dan rabut putih atau beruban diawal usia muda sekitar 20-an. Malah kematian disebabkan kanser juga direkodkan walaupun lokasi penempatan penduduk berada 10KM dari kawasan penyimpanan sisa buangan radioaktif itu.
  3. Kajian yang dilakukan oleh Kolej Perubatan Jiangxi di China dari sample darah dan ujian IQ pada kanak-kanak mengemukakan kesimpulan bahawa kanak-kanak di sekitar umur 7-10 tahun yang tinggal berdekatan dengan kawasan pemprosesan nadir bumi berkemungkinan mempunyai IQ atau kecerdasan akal yang lebih rendah berbanding mereka yang tinggal jauh atau yang tinggal di kawasan yang terkawal.

Video yang aku katakan tadi oleh seorang rakyat Australia yang peka terhadap isu ini. Hayati dan cuba fahami mesej yang ingin dia sampaikan:



Aku berpendapat, projek Lynas ini sangatlah tidak sesuai dan berisiko tinggi. Projek ini boleh dijalankan� sekiranya lokasi kilang tersebut diletakkan dalam kawasan kawalan 35 km minimum seperti yang digariskan oleh kerajaan Australia dan boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan kepada negara sekiranya cukai dikenakan terhadap syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd. Kalau dua yang aku sebutkan ini tak berlaku, maka sebagai rakyat tentanglah projek ini habis-habisan. Ini adalah untuk kebaikan kita bersama.

Tugas aku melalui blog ini adalah untuk menyampaikan maklumat. Kepada blogger lain yang mempunyai rasa tanggungjawab, sampaikan maklumat ini melalui blog anda. Copy paste dibenarkan macam biasa. Tweetkan kepada Najib Razak. Harap usaha kecil sebegini dapat mengubah sesuatu.

Sumber:
  1. Apa itu Lynas?
  2. National Geographic: Rare Earth Elements 


Image Hosted by ImageShack.us

Bantulah Saudara Kita di Palestin. Boikot Israel!

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin