Oleh ZIEMAN
KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya meluluskan lagu berunsurkan nilai moral dan kesantunan bahasa di samping aspek teknikal yang dipersetujui oleh Jawatankuasa panel penilai.
“Lagu-lagu yang dihantar ke RTM sama ada individu atau syarikat rakaman adalah tertakluk kepada Jawatankuasa Panel Penilaian Lagu-Lagu RTM,” kata RTM dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menjelaskan mengapa lagu puisi ‘Aku Bukan Musuh Harta’ karya bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin dianggap tidak sesuai untuk siaran. Berita pengharaman lagu Dr Asri heboh diperkatakan minggu lepas apabila RTM membuat keputusan mengharamkan penyiaran lagu Aku Bukan Musuh Harta.
Sebelum ini ketika mengulas tindakan yang diambil oleh RTM itu, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Adilah Shek Omar, berkata lagu nyanyian kumpulan Kopratasa itu tidak diluluskan kerana liriknya tidak sesuai.
“Kita tidak luluskan lagu ini kerana liriknya kasar,” katanya.
“Aku Bukan Musuh Harta’ adalah satu daripada lapan lagu puisi Dr Asri yang dimuatkan di dalam album Yang Benar Tetap Benar nyanyian Kopratasa, Aishah dan kumpulan baru Algebra.
Lagu ‘Aku Bukan Musuh Harta’ antara lapan buah lagu yang terdapat dalam album Algebra ‘Yang Benar Tetap Benar.
Namun stesen radio dan televisyen swasta yang lain tidak mengharamkan lagu ini.Antara lain lirik lagu yang tiba-tiba jadi kontroversi ini menyebut “Ya telah kaya para pendusta, syarat mereka lupakan Yang Esa, harta rakyat semua disebat, harta awam semua dibekam, hukum syaitan mereka bertuhan.”
Selain daripada menulis lapan lirik lagu itu, Dr Asri turut menyampaikan dua puisi bertajuk Itulah Politik Namanya dan Salah Menduga dalam album Yang Benar Tetap Benar.
Lagu itu merupakan salah satu dari lapan buah lagu puisi Dr Asri yang dimuatkan dalam album ‘Yang Benar Tetap Benar’ nyanyian Kopratasa, Aishah dan Algebra.
Sementara itu,Dr Asri ketika dihubungi minggu lalu, berkata beliau melahirkan rasa kemusykilan kenapa liriknya digam.
“Saya hairan mengapa lirik saya ‘Aku Bukan Musuh Harta’ digam oleh pihak berkenaan, sedangkan nilai moral dalamnya tinggi, ia tidak ditujukan kepada pihak tertentu, tetapi untuk sesiapa sahaja yang menyalahgunakan harta rakyat dan awam,” jelas beliau dari kediamannya di Lampeter, United Kingdom.
“Dalam negara kita hari ini berbagai parti memiliki kerajaan, lagu tersebut mempunyai pengajaran untuk semua.
“Jangan anda menghalang sesuatu ungkapan umum atau pengajaran am yang akhirnya orang lain akan menuduh bahawa andalah orang khusus dari yang umum atau am itu,” kata Dr Asri yang kini berada di UK untuk tempoh setahun bagi cuti sabatikalnya.
Katanya lagi,”Saya menulis lirik itu untuk mengingatkan sesiapa sahaja yang berurusan dengan harta awam dan rakyat. Apa ertinya perjuangan kerajaan menghapuskan rasuah jika lirik seperti itu pun diharamkan.
“Isinya umum dan untuk kesedaran semua pihak, mengapa ada yang rasa bersalah?
“Semua pihak tahu bahawa saya bukan orang politik, maka ketika saya menulis lirik saya bebas dari kepentingan kerusi atau kepartian. Mereka silap jika bertindak demikian,” kata tokoh agama yang terkenal kerana kelantangannya melontarkan idea tentang apa saja berhubung isu agama, politik, sosial mahupun hiburan. Difahamkan sebelum lagu ini diharamkan, terdapat ura-ura untuk menjadikan lagu ini sebagai kempen untuk membenteras rasuah.
Tinjauan yang dibuat di Nasyeed.com, pengedar album ini juga menunjukkan penjualan album ‘Yang Benar Tetap Benar’ sungguh memberangsangkan kerana ramai yang ingin tahu kenapa lagu ‘Aku Bukan Musuh Harta’ diharamkan.
sumber berita & puisi/lirik lagu: http://drmaza.com/